Disediakan oleh : Sua Shang Wei
Pada masa kini, dunia
pendidikan sering menjadi isu penting tidak kira sama ada dari segi
pendidiknya, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan, ganjaran dan
kenaikan pangkat ataupun isu-isu semasa yang sering membabitkan diri pendidik
tersebut. Oleh itu, profesion perguruan sering dianggap oleh masyarakat bahawa
bidang ini bukanlah satu tugas yang sukar dan rumit kerana kebanyakan mereka
menganggap kerjaya guru hanya duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu
pengetahuan kepada muridnya sahaja.
Selain itu, terdapat
juga orang yang berpendapat bahawa guru hanya perlu membuat kerja-kerja
perkeranian seperti menaip dan mengisi boring yang berkaitan dengan murid. Justerunya,
masyarakat kini sememangnya tidak begitu memahami secara mendalam terhadap profesion
keguruan dan tanggungjawab yang dipikul oleh para guru.
Namun begitu, di negara
kita masih terdapat persoalan-persoalan mengenai tekanan kerja di kalangan guru
sering dibincangkan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Ini adalah kerana
profesion sebagai seorang guru merupakan salah satu profesion yang sungguh
mencabar. Tanggungjawab yang menyatakan bahawa guru umpama ‘lilin yang membakar
diri’ bukan sahaja di dalam masyarakat kita tetapi di negara-negara lain juga memandangkan
tugas seseorang guru begitu banyak dan tanggungjawabnya adalah amat berat
terutamanya terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh seseorang guru
dalam era globalisasi ini. Di negara kita,
antara cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik adalah cabaran Wawasan 2020
untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya
saing.
Dengan itu,
tanggungjawab dan tugas guru yang begitu mencabar telah memberikan tekanan stres secara tidak langsung
dan menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Tidak dapat
dinafikan bahawa pada masa kini terdapat kes-kes yang berkaitan dengan guru
sering berlaku dan dilaporkan melalui media massa. Kebanyakan Kes yang
berkaitan dengan guru adalah amat serius sehingga terdapat segelintir kes telah
menyebabkan kecederaan dan kematian.
Dalam kes ‘ Bisikan
Misteri Arah Guru Amuk’ yang berlaku di SK Sabur, Kota Kinabalu adalah amat
serius kerana guru tersebut telah mengamuk sehingga menggunakan pedang samurai
dan menyebabkan seramai 14 orang guru termasuk dua orang guru wanita terpaksa
menyembunyikan diri dalam hutan paya bakau. Walaupun tiada sebarang kemalangan yang
tidak diingini berlaku, akan tetapi tingkah laku guru tersebut yang kurang
waras telah mengancam keselamatan rakan sejawat yang lain. Ini mungkin akan membawa
sebarang kecederaan ke atas guru-guru yang tinggal bersamanya. Sumber berkata
bahawa suspek tersebut mendakwa terdapat suara perempuan yang sering mengganggunya
sejak beberapa minggu lalu dan menyebabkan dia tidak dapat bertahan sehingga
mengamuk.
Melalui pandangan masyarakat
setempat yang bertahyul mungkin berpendapat bahawa guru tersebut memang
diganggu oleh makhluk halus. Walaubagaimanapun, pandangan yang lebih saintifik
mengenai kes ini berlaku mungkin disebabkan tekanan emosi yang telah dipendamkan
dalam guru tersebut yang agak lama sehingga dia tidak dapat berfikir dengan
waras dan mendakwa dirinya dapat mendengar bisikan misteri yang mengganggu
ketenteramannya. Akibatnya, tekanan emosi yang serius ini telah menyebabkan
guru berkenaan berfikiran tidak mempunyai kesedaran diri dan melakukan perbuatan
yang tidak terkawal yang boleh mengancam keselamatan orang lain.
Dengan itu, kes yang
telah berlaku ini telah membuktikan bahawa pada zaman kini, para guru sentiasa
menghadapi cabaran yang lebih ketara dengan tuntutan daripada ibu bapa,
masyarakat, pihak pengurusan sekolah dan kementerian demi meningkatkan lagi
kualiti pendidikan. Selain itu, pelbagai reformasi dalam bidang pendidikan dan
masalah-masalah seperti masalah murid dan bebanan kerja pasti akan menyebabkan tekanan
stres di kalangan guru.
Stres merupakan satu
penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang
masyarakat pada hari ini. Dr. Hans Selye,
pengasas kepada teori stress atau tekanan perasaan telah mendefinisikannya
sebagai suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh
sesuatu bebanan yang menimpanya.
Menurut Mohd Salleh
(1994), stres adalah reaksi fizikal dan mental emosi seseorang akibat sesuatu
situasi yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat keselesaan hidup. Di
negara kita, fenomena stres di kalangan guru sering diperbincangkan dan
dijadikan bahan kajian. Ini adalah bidang
pendidikan pada hari ini semakin mendesak para guru untuk bekerja keras dengan
lebih masa demi mencapai permintaan tinggi pendidikan tersebut. Di samping itu,
usaha peningkatan dan pelaksanaan tersebut telah menyebabkan guru-guru semakin
tertekan dengan bebanan kerjaya pendidikan ini.
Mengikut Kyriacou
(2000), stres guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak
diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan
akibat daripada tugas sebagai seorang guru. Sementara itu, menurut Sapora Sipon
(2007), stres terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru
berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan
kebimbangan. Maka, stres merupakan tindak balas fizikal yang biasa terhadap
sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan
berlaku.
Oleh itu, guru yang
gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada perhubungan guru
dengan murid dan juga mutu pengajaran
dan pembelajaran. Isu sebegini seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan
dan juga profesion perguruan yang akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah
masyarakat yang mampu membawa negara kita ke tahap kecemerlangan dan
kegemilangan mutu pendidikan.
Isu beban tugas guru ini memang
sukar difahami masyarakat umum melainkan ada dalam kalangan keluarga atau rakan
mereka terbabit dalam kerjaya itu. Tidak seperti kebanyakan kerjaya lain, tugas guru
tidak terikat kepada waktu persekolahan. Selain terpaksa membawa kerja balik ke
rumah, guru kadang kala terpaksa membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan
tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program
peringkat daerah atau peringkat negeri atau wakil pengetua atau guru besar. Di
samping itu, mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti
kokurikulum seperti persatuan, sukan dan badan beruniform. Ini tidak termasuk
mengiringi pelajar menyertai program di luar sekolah yang mungkin mengambil
masa beberapa jam mahupun beberapa hari.
Sememangnya peranan
guru di sekolah adalah banyak dan tugas guru bukan sahaja mengajar dan
menyampai ilmu pengetahuan kepada muridnya di dalam kelas tetapi dia juga diharapkan
dapat melaksanakan tugas-tugas yang lain. Antaranya adalah sebagai pengurus
bilik darjah, mengawal disiplin murid, perancang program-program, agen
perubahan, penyelidikan, fasilitator, penilai dan banyak lagi. Apabila sesi persekolahan menuju ke
penghujungnya pada setiap tahun, guru sekolah perlu mendapat semakin banyak
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Sementara tugas-tugas tersebut semakin
bertambah, tugas seperti pemeriksaan tugasan, ujian dan peperiksaan juga akan
dihadapi oleh guru selain melaksanakan tugas rutin iaitu mengajar. Dengan
pertambahan tugas, guru akan berasa beban dan seterusnya akan mengalami tekanan
emosi yang serius.
Semua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa, tuntutan perbatuan yang dicatu mahupun lebihan masa yang digunakan untuk
tugas rasmi diganti sebagai cuti rehat pada keesokan harinya. Namun, bagi
kebanyakan guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan kerana menyedari mereka
sudah memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkaui waktu kerja. Walaupun
begitu, penyelesaian yang wajar harus
dicari bagi meringankan beban ini kerana jika stres atau tekanan berpanjangan
di dalam hidup seseorang guru dan tidak bijak untuk menguruskannya, ia akan
menyebabkan penyakit-penyakit tertentu yang akan menjejaskan kesihatan dan
kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi kesan negatif kepada murid.
Antara penyakit-penyakit yang berpunca akibat
mengalami tekanan stres adalah sakit jantung, stroke, kencing manis, darah
tinggi dan sebagainya. Merujuk kepada isu
guru tersebut telah mengalami kesukaran tidur sehingga dia mengamuk. Kesukaran
tidur atau dikenali sebagai ‘insomnia’ adalah salah satu penyakit yang berpunca
daripada tekanan stres.
Selain itu, terdapat juga
banyak faktor yang menyebabkan kes sebegini berlaku. Antaranya adalah
persekitaran kerja yang tidak kondusif. Suasana kerja adalah amat penting bagi
seseorang guru kerana ruang kerja yang sempit dan sesetengah kelas yang terlalu
panas dan tidak selesa boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada guru berbanding
dengan individu lain yang bekerja di tempat yang berhawa dingin. Tambahan pula,
kemudahan-kemudahan sekolah yang tidak mencukupi untuk keperluan diri dan
pelajarnya terutamanya sekolah-sekolah di kawasan pedalaman akan menyebabkan
guru tersebut semakin stres.
Selain itu, kelakuan dan perangai murid dalam kelas yang
sentiasa menjadi cabaran kepada seseorang guru juga merupakan salah satu faktor
yang menyebabkan guru mengalami tekanan emosi. Murid sentiasa melakukan
pelbagai aksi untuk menarik perhatian guru tentunya akan menimbulkan masalah
serta memberikan kesan kepada emosi guru dan lama-kelamaan ia akan menjadikan
guru berasa stres.
Punca-punca peribadi
juga merupakan antara faktor guru mengalami tekanan emosi. Keadaan kesihatan
guru terjejas ataupun berlakunya kemalangan dan kematian dalam kalangan ahli
keluarga akan menyebabkan guru tersebut mengalami tekanan emosi yang seirus.
Selain itu, hubungan dengan ahli keluarga atau rakan sekerja adalah amat
penting bagi seseorang guru kerana ia merupakan satu sokongan kepada guru
tersebut. Jika berlakunya perselisihan faham akibat masalah komunikasi yang
tidak berkesan maka ini boleh menyebabkan stres terhadap guru tersebut.
Pada zaman kini,
taraf hidup yang semakin tinggi telah menjadi keperluan yang biasa bagi semua
orang. Oleh itu, perbelanjaan kehidupan seharian amatlah memerlukan wang yang
secukupnya. Kita sering diberitahu bahawa gaji guru adalah rendah berbanding
dengan profesion yang lain. Dengan itu, masalah kewangan telah membataskan aktiviti
riadah dan taraf hidup seseorang guru. Ini telah menyebabkan dia sukar untuk
menikmati dan memberikan taraf hidup yang baik kepada diri dan keluarga mereka.
Maka, masalah kewangan ini akan menyebabkan guru mengalami tekanan stres.
Berdasarkan faktor-faktor
yang telah dibincangkan, banyak usaha dan rancangan untuk mencari penyelesaian
yang sesuai hendaklah dijalankan agar mengatasi masalah beban guru sekolah agar
isu ini tidak akan berterusan dan menjadi semakin serius. Jika tidak, ia akan
membawa kesan yang buruk sehingga guru tidak suka akan kerja mereka dan secara
tidak langsung ia mampu membawa kesan buruk yang akan menjejaskan imej
keguruan. Maka, pihak yang berkenaan haruslah bekerjasama dan mengambil berat
terhadap isu-isu guru mengalami tekanan emosi akibat bebanan kerja.
Dengan itu, pelbagai
cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk menangani masalah beban
tugas guru. Salah satunya adalah Kesatuan Perkhidmatan Pengurusan Perguruan
Kebangsaan (KPKK) telah memohon supaya skop kerja guru dapat dispesifikan dan
kebajikan guru dapat diutamakan. Selain itu, kemudahan asas sekolah perlu
lengkap dan program pemprosesan data dapat diringkaskan serta penambahbaikan
semua sistem ICT agar urusan data guru atau pelajar dapat dilaksanakan secara
berpusat. Bukan sahaja begitu, pihak KPKK juga mencadangkan agar mewujudkan
jawatan pembantu murid untuk membantu urusan kerja-kerja perkeranian dan
mengasingkan guru akademik dan guru sukan agar guru dapat lebih fokus pada
tugas yang telah ditetapkan untuk setiap individu dalam organisasi itu.
Sebenarnya, pihak
kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap isu beban guru dan berusaha mencari
penyelesaian yang sesuai untuk menangani masalah tersebut. Timbalan Perdana
Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merupakan Menteri Pelajaran telah
menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang
ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara dan diharapkan untuk mencari
penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan bebanan guru.
Selain itu, tokoh
akademik termasuklah bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman
Arshad telah meminta mengkaji mewujudkan jawatan pembantu guru bagi membantu
guru di setiap kelas bagi melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Dengan
itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mencari penyelesaian dengan melatih
dan menghantar pembantu pentadbir di sekolah bertujuan untuk mengurangkan beban
kerja guru. Tugas-tugas seperti tugas perkeranian dan menguruskan pusat sumber
serta bilik-bilik khas sekolah oleh pembantu pentadbir sememangnya dapat
mengurangkan masalah beban kerja guru. Dengan ini, guru juga dapat lebih fokus
kepada tugasnya untuk merancang pengajaran dan pembelajaran yang lebih
berkesan.
Bukan sahaja begitu,
pihak kerajaan juga telah berusaha menaik taraf infrastruktur dan kemudahan
sekolah terutamanya di kawasan pedalaman agar menyediakan suasana persekitaran
kerja yang kondusif bagi guru. Dengan usaha sebegini, maka stres di kalangan
guru dapat dikurangkan.
Bagi seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat
bebanan kerja, beliau seharusnya dapat memiliki penampilan yang baik dari segi
mental dan dapat menghadapi sebarang cabaran atau halangan dengan pemikiran
yang jelas dan baik. Ini adalah kerana guru bukan sahaja memerlukan penampilan
yang baik dari segi fizikal, malah beliau juga perlu sentiasa berfikiran waras
dan dapat menangani tekanan emosinya dengan berkesan. Oleh itu, guru seharusnya
meningkatkan dan menguasai kemahiran menyelesaikan masalah yang dapat membantu
seseorang guru menangani masalah tekanan emosi yang dihadapinya secara
rasional, seterusnya merancang cara
penyelesaian secara sistematik.
Selain itu, sebagai seorang guru, beliau juga seharusnya
dapat menguasai kemahiran pengurusan masa. Pada masa kini, kebanyakan guru yang
bekerja menghabiskan masa ke atas tugasan yang kurang penting telah mengabaikan
tanggungjawab yang lain sehingga mereka berasa tugas mereka tidak dapat
diselesaikan. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi guru mengalami
masalah tekanan emosi akibat beban kerja. Oleh itu, kemahiran pengurusan masa
dapat membantu seseorang guru menumpukan kepada kerja-kerja yang penting dahulu
dan melakukannya dengan lebih bijak. Contohnya, seseorang guru perlu merancang
jadual bekerja dan meluangkan masa lapang individu yang secukupnya untuk
kegunaan diri.
Seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat beban
kerja boleh mempelajari kemahiran relaksasi yang dapat membantu meredakan
reaksi fizikal terhadap tekanan. Sebagai contoh, guru boleh boleh menjalankan
relaksasi seperti aktiviti yoga yang mengutamakan cara menarik dan menghembus
nafas dengan perlahan-lahan yang boleh menangani stres.
Bukan sahaja begitu,
seseorang guru patut mengekalkan cara hidup yang sihat dan seimbang dengan
bersenam, makan makanan yang sihat, mempunyai tidur yang cukup dan tidak
meminum air beralkohol kerana badan yang sihat dapat meningkatkan prestasi
kerja. Untuk memperolehi cara hidup yang seimbang, seseorang guru perlu
meluangkan masa dengan melakukan hobi atau aktiviti rekreasi. Dengan membuat demikian,
mereka dapat mengalih fikiran mereka terhadap kerisauan dan kebimbangan
mengenai tugas serta mendapat persepsi yang baru untuk menyelesaikan sebarang
masalah yang dihadapi.
Jika seseorang guru itu mempunyai cara berkomunikasi yang
baik dan berkesan, maka mereka dapat mencari jalan untuk meluahkan buah fikiran
dan emosinya. Di samping itu, ia juga dapat memahami reaksi yang diberi. Maka,
dengan cara ini dapatlah seseorang guru itu mengendalikan masalah dan tekanan
emosi dengan lebih berkesan. Oleh itu, sebagai seorang guru, beliau perlu
menjalin hubungan yang baik dengan rakan sejawatnya agar dapat berkongsi
masalah yang dihadapi. Merujuk kepada kes guru tersebut, guru berkenaan
sepatutnya menjelaskan dan membincangkan masalah bisikan misteri yang telah dihadapi
olehnya kepada rakan sejawat yang lain agar dapat sokongan yang baik untuk mencari
cara penyelesaian yang lebih berkesan.
Seseorang guru yang mempunyai tujuan hidup biasanya dapat
mengendali tekanan dan stres dengan baik. Oleh itu, penglibatan diri dalam
hal-hal keagamaan juga merupakan salah satu cara bagi seseorang guru untuk
menangani masalah tekanan stres kerana agama dapat memberi sumber harapan atau
menjadi pegangan kepada seseorang apabila diperlukan. Golongan yang bekerja
termasuk guru adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam hal-hal kerohanian
kerana ia dapat memberi mereka perspektif yang betul tentang kehidupan dan
pekerjaan. Dengan ini, penampilan guru dari segi sifat rohaniah dan kejiwaan
dapat dipertingkatkan. Guru tersebut juga akan lebih bersifat tenang dan
mempunyai emosi yang mantap serta optimistik dalam kehidupan.
Selain
itu, seseorang guru perlu berfikiran realistik terhadap pekerjaannya dan
memupuk sikap suka dan minat terhadap kerjayanya dengan menambah ilmu pengetahuan
mengenai bidang atau profesion yang diceburinya demi memartabatkan lagi
profesion keguruan. Beliau juga seharusnya dapat memahami kekuatan dan
kelemahan dirinya. Sementara itu, fikiran yang positif patut disemai dalam
kalangan guru agar mereka dapat bersiap sedia menghadapi sebarang masalah dan
bersikap terbuka untuk menghadapi sebarang perubahan terutamanya dalam bidang
pendidikan.
Bukan
sahaja begitu, seseorang guru perlulah sentiasa bertanggungjawab dan memahami
akauntabilitinya terhadap murid, ibu bapa, masyarakat dan negara serta rakan
sejawat dan profesion keguruan agar dapat menunjukan prestasi yang terbaik
ketika bekerja terutamanya menjalankan peranannya untuk menyampai ilmu
pengetahuan dan merancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan agar
murid-murid dapat mencapai objektif yang optimum.
Pihak
pengurusan sekolah pula harus berperanan untuk membantu guru dalam menghadapi
sebarang tekanan, konflik dan isu. Pihak berkenaan perlu sedar akan kepentingan
pemantauan ke atas tahap stres guru dari semasa ke semasa dan mengambil
tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan masalah tersebut. Contohnya, pihak
pengurusan di sekolah perlulah mengenal pasti guru-guru yang mempunyai potensi
mengalami tahap stres yang tinggi. Seterusnya, pihak sekolah boleh bekerjasama
dengan kaunselor pentadbir yang berada di Pejabat Pelajaran Daerah dan di
Jabatan Pelajaran Negeri agar mengadakan sesi pertemuan untuk membantu guru
yang berkenaan untuk memahami dirinya dan orang lain, seterusnya mendapatkan
alternatif terbaik yang boleh dilakukan dalam menangani sebarang isu khususnya
yang berkaitan dengan tekanan.
Kesimpulannya, tekanan emosi guru semakin ketara di sekolah akibat
beban kerja kerana globalisasi dan modenisasi dalam bidang pendidikan. Dengan
tanggungjawab guru semakin mencabar dan peranan guru juga berubah. Hal ini
telah menyebabkan para guru menghadapi tekanan emosi dan terdapat segelintir
guru tidak dapat tekanan kerja dengan sebaik mungkin sehingga menjejaskan
kesihatannya. Oleh itu, pengurusan tekanan emosi memerlukan kemahiran yang
mesti dipelajari oleh semua anggota di dalam organisasi pendidikan terutamanya dalam
kalangan guru kerana kegagalan mengawal tekanan boleh membawa kesan yang buruk
bukan sahaja kepada individu tetapi juga imej organisasi.
Selain
itu, pihak berkenaan juga harus memberi sokongan dan membantu mengurangkan
beban stres yang dihadapi oleh guru dengan mengkaji semula skop kerja guru. Para
guru perlu sentiasa bersikap positif dalam menghadapi cabaran-cabaran dalam
dunia pendidikan hari ini bagi mengelakan diri terus berada dalam keadaan stres
dan menjejaskan karier diri sebagai seorang guru.
Casino Resort & Spa - Mapyro
ReplyDeleteFree parking is available for all casinos. 광주광역 출장샵 All 광양 출장안마 games and promotions offered are 남원 출장샵 subject 부산광역 출장마사지 to availability. Free shuttle offers may not 포항 출장마사지 be available at this location. Map