Disediakan oleh : See Zhun Jiat
Cabaran era komunikasi abad ke-21 terhadap sistem
pendidikan negara begitu terasa. Guru merupakan badan yang dipertanggungjawab
untuk menghasilkan rakyat masa depan yang berguna kepada masyarakat dan negara.
Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa
hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan
pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan
nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni. Namun begitu, ketika kita bersungguh-sungguh menyahut
cabaran masa kini untuk merealisasikan aspirasi negara, timbul pula pelbagai
masalah dikalangan guru.
Apabila melihat kepada akhbar, berita guru memukul
pelajar, mendera, mencabul dan merogol anak murid didik sendiri sering berlaku.
Isu-isu tersebut telah menjadi topik media dan bualan hangat dikalangan
masyarakat. Kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan
tajuk utama bagi media massa. Dahulu, para pendidik mempunyai status yang tinggi
dalam hierarki hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi. Kita haruslah
bertanya kepada diri sendiri, adakah ini disebabkan oleh pelajar semakin susah
diajar ataupun berpunca daripada sikap dan kelalaian guru diri sendiri?
Dalam esei pendek ini,
saya telah memilih kes isu guru yang bertajuk “Murid Pecah Gegendang Telinga
Ditampar Guru” sebagai topik perbincangan. Marilah kita melihat bagaimana
keganasan yang dilakukan oleh guru tersebut terhadap pelajarnya. Kes itu berlaku di Sekolah Kebangsaan Siputeh, Padang
Sera. Kejadian bermula apabila seorang guru wanita bersama guru lelaki yang
terbabit mengarahkan murid-murid kelas berpindah dari tingkat dua ke tingkat
bawah blok bangunan sekolah. Mangsa yang bernama Mohd Khairil Azry Zulkifli,
11, bersama tiga rakannya difahamkan memasuki kelas itu ketika guru lelaki
tersebut masih berada dalam kelas berkenaan. Kelakuan mereka telah mengundang
kemarahan guru lelaki dan seterusnya memarahi serta menampar keempat-empatnya.
Selepas balik ke rumah, emak Mohd Khairil merasai bahawa
anaknya berkelakuan tidak seperti biasa. Dia mendesak anaknya supaya
memberitahu perkara sebenar, barulah mengetahui dia ditampar oleh gurunya. Mohd
Khairil dirujuk kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) dan kemudiannya
disahkan bahawa gegendang telinga kirinya pecah. Hal ini akan menyebabkannya
mengalami masalah pendengaran. Selain pecah gegendang telinga, Mohd Khairil
turut mengalami bengkak di dahi apabila kepalanya terhentak ke dinding semasa
ditampar oleh guru lelaki tersebut. Sebenarnya, apakah yang menyebabkan guru tersebut
bertindak ganas seperti binatang? Sesuaikah guru tersebut dianggap sebagai
seorang “ahli profesional” jika dia bersikap sedemikian terhadap pelajar
sayangnya dan juga masyarakat?
Sebelum membincang tentang
sebab guru bertindak kasar dan ganas terhadap murid mereka, marilah kita
memahami tentang definisi “keganasan”. Menurut
Wikipedia, biasanya keganasan merujuk kepada perbuatan ganas yang bertujuan
untuk mewujudkan rasa takut, dilakukan untuk matlamat ideologi, dan sengaja
sasaran atau tidak mengambil kira keselamatan bukan pejuang. Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad pula pernah menyatakan bahawa “Keganasan ialah satu bentuk jenayah,
satu jenayah kejam terhadap umat manusia. Ia adalah jenayah terhadap seluruh dunia tidak kira
siapa atau apa atau negara mana yang menjadi sasaran”.
Punca utama berlakunya kes keganasan guru adalah
kerana segelintir guru yang
berhadapan dengan masalah disiplin mahupun masalah pencapaian akademik murid
yang lemah, membuat penilaian bahawa murid perlu dihukum sebagai peringatan,
pengajaran dan kesedaran kepada mereka. Mereka merasai bahawa hukuman fizikal
seperti memukul, merotan, menampar mahupun mendera barulah akan mendatangkan
pengajaran yang efektif kepada murid. Mereka tidak pernah menyedari bahawa
akibat daripada tindakan fizikal itu, kecederaan hingga luka dan lebam sudah
tentu merisaukan ibu bapa. Jika hukuman berat dikenakan atas murid sekolah
rendah, ia mungkin akan menyebabkan kecederaan parah yang serius seperti kes ini.
Mungkin guru berkenaan
tidak berniat berbuat demikian hingga menyebabkan murid tersebut perlu
mendapatkan rawatan perubatan. Pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Dr.
Mohd. Amin Shariff menyatakan bahawa “Biasanya bukan sengaja guru ingin menimbulkan
masalah, sudah tentu punca datang daripada kenakalan atau kedegilan kanak-kanak
itu sendiri. Bukan semua murid itu baik dan patuh pada peraturan sekolah.
Itulah naluri kanak-kanak yang perlu kita fahami”. Namun demikian, sebagai
seorang guru yang bertanggungjawab untuk mendidiki dan mengajar anak murid,
beliau haruslah berupaya mengawal emosinya semasa menjalankan hukuman. Seperti
yang diujar oleh beliau lagi, “Kita sememangnya tidak boleh memaafkan guru yang
sudah dewasa dan berfikiran matang terlibat dalam insiden itu, tetapi dalam
sesetengah kes mereka mungkin hilang pertimbangan”, Jika emosi tidak dapat
dikawal, kesan negatif yang tidak boleh dibayangkan akan terjadi.
Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa lalu, memang
banyak ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada guru. Jika guru
menghukum murid, murid tidak berani mengadu kepada ibu bapa sebab ibu bapa akan
memihak kepada guru. Kini, banyak ibu bapa berpelajaran tinggi dan mengubah
cara keibubapaan daripada penggunaan kekerasan kepada psikologi. Mereka
menganggap bahawa cara kekerasan adalah kuno dan kolot yang tidak sesuai lagi
pada zaman ini. Tetapi hakikatnya, bukanlah mudah untuk meninggalkan cara
kekerasan dalam mendidik pelajar. Maka, hanya hukuman yang sesuai dan tidak
membahayakan adalah dibenarkan bagi mendisiplin dan mendidik murid di sekolah.
Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr. Robiah Sidin, “Guru
sekarang berdepan dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai ditambah dengan
pelbagai karenah. Ini berbeza dengan murid yang diajar oleh rakan sejawat
mereka sedekad dua yang lalu. Ketika itu murid lebih patuh kepada guru dan ia
wajar dicontohi”. Apabila berhadap dengan murid yang ramai, pastilah guru
tersebut akan menghadapi dengan beban kerja yang banyak. Kadang kala
tanggungjawab mereka bukanlah sahaja mengajar dan menyemak buku latihan, tetapi
juga harus mengawal disiplin murid-murid tidak kira di dalam atau luar kelas.
Lama-kelamaan, guru akan menghadapi stres dan tekanan emosi akibat pelbagai
beban yang terlampau banyak.
Satu lagi sebab yang mendorong guru bertindak ganas ialah
kekurangan sabar terhadap murid. Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed
Hassan pula berkata “Guru juga manusia biasa, jika terlalu tertekan, sesekali
kesabaran tidak boleh dikawal”. Terutama bagi guru lelaki, mereka susah untuk
mengawal emosi sendiri apabila melihat muridnya membuat salah atau berkelakuan
nakal. Mereka akan hilang kesabaran dan terus memukul sekiranya murid-murid
tidak dapat mengikut arahan dengan tepat. Tambah pula, jika murid terlalu
ramai, guru akan lebih cepat naik marah dan mengamuk sebab keadaan yang
huru-hara susah dikawal. Untuk mendapatkan perhatian murid-murid, hukuman berat
dianggap sesuai oleh guru sebagai amaran yang paling berkesan.
Menurut seorang kaunselor Universiti Islam Antarabangsa,
Asniza Mamat, “Bila tidak minat, bagaimana seseorang guru itu hendak
menyesuaikan diri dengan karenah murid. Sudah tentu mereka tidak punya perasaan
sabar. Mereka mudah merasa marah. Guru juga adalah manusia biasa yang mempunyai
emosi, kadangkala perasaan marahnya sampai ke tahap lupa bahawa dia adalah guru
dan berhadapan dengan anak orang lain”. Daripada hujahnya jelas kita tahu
bahawa salah satu andaian punca guru bertindak ganas terhadap murid-murid ialah
guru itu sendiri tidak berminat kepada profesion keguruan.
Kebanyakan guru
kini yang keluar dari instititut bukan sebenarnya mempunyai bercita-cita untuk
menjadi seorang guru. Mereka memilih untuk menjadi seorang guru kerana gaji
yang dibayar adalah tetap walaupun tidak banyak. Tambah pula, pekerjaan sebagai
kakitangan kerajaan adalah tetap. Apabila bilangan guru amat berkurangan, kerajaan
hanya boleh menerima sahaja golongan yang sebenarnya tidak begitu sesuai
menjadi guru bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah. Mereka yang
inilah ada yang bersifat negatif dan tidak sesuai sebagai guru. Mereka bukan
sahaja tidak mempunyai komitmen dalam mendidika dan mengajar, malah sentiasa
melepaskan emosi negatif sendiri ke atas murid-murid yang innocent.
Keganasan guru telah
mendatangkan kesan negatif yang serius terhadap murid seperti fobia untuk
datang ke sekolah, melakukan keganasan terhadap murid lain, ponteng sekolah,
dan vandelisme. Ini adalah kerana bayangan buruk dari segi psikologi telah
tertimbul dalam hati murid dan menyebabkan mereka bertindak demikian. Menurut
Syed Ismail Bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki Bin Miskon, dalam buku “Asas
Kepimpinan dan Perkembangan Profesional” mereka menyatakan bahawa “Guru
memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk watak, sahsiah dan moral
murid. Usaha ini perlu dimulakan dengan mewujudkan sekolah dengan watak yang
dapat dibangga oleh murid-murid, ibu bapa dan masyarakat setempat”. Jika
seorang guru tidak dapat menunjukkan tingkah laku yang baik kepada muridnya
sebagai contoh teladan, bagaimanakah mereka dapat mendidik murid anak mereka
supaya menjadi seorang yang baik berbudi serta berhemah tinggi? Fikirkanlah
secara mendalamya.
Golongan guru merupakan anggota sekolah yang terlibat
secara langsung dalam perlaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah.
Peranan yang dimainkan oleh seorang guru dalam sesebuah sekolah amat penting
terutama dari segi pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Menurut Mok Soon
Sang, “Antara peranan guru yang penting ialah sebagai pengarah pembelajaran
dengan membimbing pelajar supaya mereka berusaha belajar secara individu atau
berkumpulan dan bertindak sebagai ibu bapa kepada pelajar, demi menjaga
keselamatan dan kebajikan pelajar”. Peranan ini akan membantu pelajar
menyesuaikan diri dan menganggap sekolah sebagai sebahagian keluarga mereka.
Selain itu, guru juga sebagai pengawal yang
bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta membantu mereka membentuk
sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat. Guru juga
sebagai contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan
kepada pelajar. Dengan ini, nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di
sekolah dapat diterapkan dalam jiwa pelajar. Sebagai seorang pendidik yang
bertanggungjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang
diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa kelak.
Sebenarnya pendedahan kes keganasan guru mempunyai
kebaikan untuk masyarakat menilai semula peranan masing-masing dalam mencari
jalan penyelesaian. Gejala ini perlu dibincang dan semua pihak adalah terlibat
dan bertanggungjawab terhdapnya. Kita sama-sama perlu memikirkan jalan terbaik
untuk menyelesaikan masalah agar perkara yang sama tidak berulang lagi dan
bukan hanya menuding jari kepada mana-mana pihak. Dengan berjaya menangani
masalah keganasan guru, barulah murid-murid dapat belajar dalam situasi
pembalajaran yang selamat dan gembira.
Seperti yang dibincang tadi, cabaran paling besar
yang dihadapi oleh kalangan guru pada masa kini ialah pelbagai stres yang
membawa kepada tekanan emosi dan seterusnya berlaku kes keganasan guru. Mengikut
Kyriacou, “Stres guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak
diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbiangan, kemarahan, dan kemurungan
akibat daripada tugasnya sebagai seorang guru”. Maka, stres merupakan tindak
balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh
menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Jadi, para guru perlu mampu mengesan
tanda-tanda awal gangguan emosi dan menyediakan langkah-langkah kepada diri
untuk menangani gangguan emosi tersebut. Hal ini kerana sekiranya gangguan
emosi tidak ditangani segera, ia akan mendorong kepada pelbagai masalah
keganasan guru dan seterusnya mengelapkan masa depan murid-murid.
Walaupun bukan semua stres boleh dielakkan dan
kadang kala adalah tidak sesuai untuk mengelakkan situasi yang perlu ditangani,
terdapat juga stres yang boleh disingkirkan oleh guru dalam tanggungjawabnya.
Seseorang guru perlu belajar untuk mengatakan “tidak” sama ada dalam kehidupan
peribadi ataupun profesionalnya. Guru boleh menolak tanggungjawab tambahan
sekiranya beliau tidak dapat menghadapi atau tidak berkemampuan untuk
melaksanakannya. Contohnya, seorang guru Sains boleh menolak tugas sebagai guru
pembimbing pasukan koir dimana beliau memang langsung tidak mempunyai sebarang
pengetahuan dalam bidang muzik. Menanggung sesuatu tugas tambahan yang tidak
terdaya akan menyebabkan stres dan seterusnya mendatangkan gangguan emosi.
Dalam melaksana sesuatu tugas, guru harus
berkebolehan menguruskkan tugas dengan sistematik supaya tidak terlalu beban.
Jangan sekali cuba mencapai terlalu banyak tugas dalam masa yang singkat. Oleh
sebab guru berhasrat mencapai terlalu banyak tugas dalam sehari, maka situasi tersebut
akan menyebabkan mutu kerja mereka merosot. Kesannya ialah hasil yang dicapai
merupakan satu tekanan kepada guru. Oleh itu, guru perlu mengutamakan
tugas-tugas yang penting dan rancang apa yang boleh dicapai dalam tempoh yang
ditetapkan.
Bagi pihak kerajaan, apa
yang boleh dibuat ialah Jabatan Pendidikan Negara harus mengenalpasti guru-guru
yang menghadapi masalah psikologi dan mengatasinya dengan segera.
Bengkel-bengkel seperti Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) boleh diadakan untuk
membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit serta mengendalikan
perasaan tertekan. Tambah pula, ia akan juga menaikkan kualiti serta imej guru
apabila mereka mempelajari lebih banyak tentang kod etika keguruan dan
tatasusila profesion penguruan. Guru perlu mengelakkan
diri daripada nafsu marah dan jauhkan diri daripada membuat kesimpulan
terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih dahulu seperti yang digariskan dalam
buku “Panduan Tatacara Disiplin
Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru”.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh berkata
“Cara mengatasi guru ganas bukan sekadar menukarkan mereka ke tempat lain
semata-mata. Sebaliknya jika mereka tidak berminat mengajar, lebih baik diambil
tindakan tegas dengan memberhentikan guru tersebut”. Beliau turut mencadangkan
untuk mengatasi masalah guru ganas ialah dengan menapis calon guru dari
peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini berguna untuk menguji
kesesuaian seseorang sebagai guru. Guru perlu sedar bahawa pelajar adalah
manusia biasa yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh itu murid
patutlah mendapat layanan yang beradab. Dengan cara inilah boleh mendorong
murid memberi penghormatan yang setimpal dengan layanan yang diberikan oleh
guru kepada mereka. Sikap guru yang bengis dan garang hanya menakutkan murid
untuk ke sekolah.
Apabila murid-murid melakukan kesalahan kecil seperti
membuat bising dalam bilik darjah, tidak memberikan perhatian sewaktu guru
mengajar dan berkeliaran semasa waktu persekolahan, guru perlu mendidik
pelajarnya dengan sabar dan bukanlah secara ganas. Guru boleh memberi latihan
tambahan seperti menulis karangan atau bagi kerja-kerja yang boleh memberikan
nilai murni kepada murid. Datuk Noh Omar Guru berkata bahawa “Tidak boleh
mengenakan hukuman atau denda kepada pelajar yang melakukan kesalahan kecil
dengan cara mendera atau mencela”. Menurut beliau juga, semua hukuman dan denda
yang berbentuk pendidikan telah dinyatakan secara jelas dalam Surat Pekeliling
Ikhtisas Bil. 8/1983 di bawah Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid
Yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam
Peraturan-peraturan Pelajaran. Dalam pekeliling itu juga diberitahu tindakan
hukuman seperti mengetuk dan menyekel kepala murid, menampar, mencubit hingga
lebam, memulas telinga, membuat henjutan sambil memegang telinga, mencela,
mendera seperti berlari keliling padang, menjemur atau menghukum murid secara
berkumpulan tidak dibenarkan.
Bagi seorang guru terlatih, beliau perlu memahami
peraturan dan panduan yang telah digariskan. Terdapat peruntukan di bawah
Seksyen 350 iaitu kekerasan jenayah yang menetapkan bahawa barang siapa dengan
sengaja menggunakan kekerasan kepada seorang lain dengan tidak kerelaan, maka
ia telah melakukan atau dikatakan telah menggunakan kekerasan jenayah. Sesungguhnya
kebanyakan guru menghendaki murid-muridnya mematuhi segala arahan sekolah,
tetapi pada masa yang sama ada segelintir guru yang enggan mematuhi peraturan
yang ditetapkan oleh kementerian. Ada segelintir guru menjatuhkan hukuman
mengikut budi bicara sendiri dan inilah sebab kenapa berlakunya kes keganasan
guru.
Sebenarnya,
amalan menampar, memukul atau merotan pelajar yang melakukan kesalahan
seharusnya diharamkan di peringkat sekolah taska, tadika, dan sekolah rendah.
Hal ini demikian kerana guru yang melakukan perbuatan tersebut kadang-kala
keterlaluan sehingga menyebabkan kesakitan yang amat sangat kepada kanak-kanak
tersebut. Tidak dapat menafikan bahawa kenakalan dan kedegilan kanak-kanak
tersebut kadang-kadang meruntuhkan kesabaran dan mengoyahkan keimanan guru
untuk mendidik, namun seboleh-bolennya janganlah menggunakan keganasan untuk
mendisiplinkan mereka. Cuba bayangkan, betapa sakitnya apabila budak sekecil
itu hendak berjalan, duduk dan mandi atau berbaring untuk melelapkan mata pada waktu
malam. Tindakan guru tersebut telah menjadikan mereka menderita kesakitan dan
ketakutan sepanjang masa.
"Bila ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada
pihak sekolah, ia menjadi tanggungjawab guru dan sekolah kena memberi perhatian
tentang keselamatan mereka, (bukannya mendera mereka) apa lagi dilakukan oleh
guru yang sepatutnya bertanggungjawab mendidik anak-anak," Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau yang juga Menteri Pelajaran
mengujarkan dengan begitu. Maka, pada era ini, cara mendisiplinkan dan mendidik anak-anak didik hendaklah
diubah. Jika kita tidak mahu guru lain mendera anak kita, lebih baik kita
jangan memulakannya dengan melakukan keganasan terhadap anak orang lain.
Kesimpulannya, tindakan menggunakan kekerasan seperti memukul, merotan, dan menampar tidak
mendatangkan sebarang manfaat malah akan memburukkan lagi keadaan. Guru harus
banyakkan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pedagogi untuk menjadi
pendidik yang baik, cemerlang dan gemilang di abad ini. Guru tidak lagi boleh
berpegang kepada cara lama untuk melahirkan doktor, jurutera mahupun angkasawan
yang bakal memacak nama Malaysia di persada dunia pada masa depan. Tebalkan
rasa sayang, tebalkan rasa perikemanusiaan, tebalkan kesabaran, demi
kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anak didik kita.
No comments:
Post a Comment