Sunday, 2 September 2012

Isu Guru Terbabit Dalam Kegiatan Dadah

Disediakan oleh: Khor Jue Ying


Pengenalan

    Ketika negara-negara di dunia begitu sibuk bagi mengatur strategi untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam era globalisasi, kedengaran juga suara-suara sinis yang masih mempersoalkan peranan dan fungsi yang dapat dimainkan oleh insan guru yang dianggap mulia ini.

    Golongan yang terlibat dengan pendidikan pastinya tidak akan terlepas daripada tanggungjawab untuk memimpin, sama ada kepemimpinan di dalam kelas, panitia mahupun peringkat sekolah. Maka setiap pendidik perlulah berusaha dan bersedia untuk meningkatkan perkembangan profesionalisme mereka kerana perkembangan dan perubahan yang pesat dalam dunia pendidikan akibat daripada perkembangan arus perdana globalisasi. 

    Akan tetapi, adakah semua pendidik telah bersedia dan melaksanakan tugas mereka dengan penuh bertanggungjawab dan beramanah apabila mereka menjejakkan kaki ke dalam bidang profesion ini? Adakah semua pendidik yang disandang jawatan sebagai guru telah melaksanakan tugas mereka dengan baik tanpa membangkitkan sebarang masalah ataupun isu-isu yang berkaitan dengan profesion? Jawapannya adalah tidak.


Isu Terbangkit

    Dadah ialah bahan yang digunakan untuk merawat penyakit, mengurangkan simptom atau mengubasuai proses kimia di dalam badan untuk tujuan-tujuan tertentu. Sebarang dadah boleh digunakan secara sah dari segi perubatan sekiranya ia dipreskripsikan atau diberikan oleh doktor. Namun pada masa kini, masalah penyalahgunaan dadah (iaitu penggunaan dadah yang bertentangan dengan kepentingan rawatannya) telah kian berleluasa sehinggalah ia telah menceburi ke profesion perguruan.

    Berita-berita tentang penyalahgunaan dadah di kalangan guru kian bertambah dari semasa ke semasa. Contohnya guru dipenjara lapan tahun, disebat miliki dadah (Petikan dari Berita Harian, 27/01/2011), guru Bahasa Inggeris sorok ganja dalam rumah ditahan (Petikan dari Berita Harian, 07/04/2011) dan pelajar dapat nospan daripada guru (Petikan dari Berita Harian, 27/04/2010)

    Daripada keratan-keratan petikan yang dapat saya peroleh daripada Berita Harian, tidak dapat dinafikan bahawa kes-kes guru menyalahgunakan dadah kerap kali berlaku dan bilangan kes-kes sebegini telah kian meningkat dari tahun ke tahun. Di sini saya akan berikan tumpuan kepada isu ini berdasarkan rencana “Guru terbabit dadah, kurang disiplin tak layak jadi pendidik” yang dipetik dari Berita Harian, 03/05/2010, karya Jami'ah Shukri.

    Bah kata pepatah “guru kencing berdiri, murid kencing berlari” yang membawa maksud murid akan mencontohi segala- gala kelakuan gurunya terutama dalam hal yang tidak baik. Oleh itu, isu penyalahgunaan dadah di kalangan guru haruslah diberi perhatian dan diselesaikan sebelum berleluasa.

    Sebelum mengupaskan isu ini, marilah kita memahami definisi untuk beberapa perkataan yang berkaitan dengan topik yang bakal kita bincangkan.


Guru

    Menurut kepada sumber dari Wikipedia, perkataan “guru” sebenarnya berasal dari bahasa Sanskrit, di mana ia dikenali sebagai pengajar, pendidik, Mudarris dan pengasuh. Kesemua perkataan ini membawa maksud kepada tenaga pengajar dalam institusi pendidikan seperti sekolah atau bimbingan.

    Masih menumpukan perhatian kepada maksud guru, dalam zaman modern ini guru juga merupakan istilah yang digunakan untuk seorang yang pakar dalam sesuatu bidang misalnya guru merujuk kepada seorang yang pakar dan handal dalam bidang pengurusan.

    Di peringkat university pula, guru diberi gelaran tutor atau pensyarah. Secara lazimnya guru perlu mahir dalam sesuatu mata pelajaran serta diperkukuhkan pula dengan pengetahuan dalam bidang pedagogi atau sains prinsip pengajaran.


Etika

    Menurut kepada perkataan Dewan Bahasa & Pustaka,  tahun 1995 ‘etika’ membawa maksud kepada satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Dari persepktif Islam, etika merujuk kepada tingkah laku betul berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah.

    Manakala sekiranya kita merujuk kepada Kamus Oxford, tahun 1994 ‘etika’ pula membawa maksud prinsip moral atau set prinsip moral. Di mana ia merupakan tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat.


Etika Guru

    Setiap warga guru mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan usaha-usaha yang dirancangkan oleh pihak atasan untuk mencapai matlamat dan mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia. Guru-guru haruslah bersikap sebegini bagi menjadikan negara Malaysia yang dicintai ini sebagai pusat pendidikan yang penuh dengan kecemerlangan dan dapat standing dengan pendidikan bertaraf dunia.

    Sifat-sifat yang seharusnya terdapat pada seseorang individu dalam profesion guru ialah luhur, bertanggungjawab serta bertahap professionalisme yang tinggi. Kesemua sifat-sifat ini mestilah menjadi amalan dan pegangan sewaktu menjalankan amanah profession.

    Maksud etika kerja ialah panduan tingkah laku yang menjadi pegangan kepada setiap warga guru berlandaskan akhlak yang mulia. Oleh itu, guru mestilah mempunyai etika kerja bagi mencapai objektif. Ini bermakna guru wajib menanamkan sikap positif dan menghapuskan sikap negatif dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan oleh pihak atasan bagi meningkatkan kualiti kerja.

   Selain itu, guru juga perlu meningkatkan disiplin diri agar menjauhkan diri dari kegiatan yang tidak baik seperti gangguan seks ataupun terbabit dalam kegiatan dadah bagi menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dan organisasi. Pada masa yang sama, guru perlu memberikan sumbangan positif yang berterusan kepada negara.

     Terdapat banyak prinsip-prinsip etika yang hendak dipatuhi oleh pihak guru. Maka di sini saya akan memilih dan mengulas sedikit sebanyak prinsip-prinsip yang berkaitan dengan isu guru yang saya pilih. Antaranya ialah:

•    Guru perlulah sentiasa mempunyai niat yang betul

Sesungguhnya semua pekerjaan adalah bergantung kepada niat yang betul. Dengan niat yang betul, barulah guru tidak akan terjerumus ke masalah jenayah seperti terbabit dalam kes dadah. Bagi menanamkan niat yang betul, guru perlulah faham dan memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Negara, misi, matlamat dan objektif yang ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain itu, guru perlulah menjalankan tugas dengan sempurna dan ikhlas serta sentiasa berusaha untuk memberikan sumbangan yang bermutu.

•    Guru perlulah berkelakuan baik

Setiap warga pendidik bertanggungjawab untuk mencapai hasil yang berkualiti dan memperbaiki imej organisasi pada masa yang sama. Untuk itu, semua guru mestilah menunjukkan penampilan diri, pertuturan dan perbuatan yang terbaik sepanjang masa. Guru juga mesti menghasilkan kerja yang berkualiti tinggi secara berterusan serta menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha yang dilakukan oleh organisasi.

•    Guru merupakan penggerak ke arah kebaikan

Untuk menjadi penggerak ke arah kebaikan, guru hendaklah menunjukkan penampilkan diri sebagai seorang yang dinamik, maju, berdaya saing dan dapat mendorong orang lain melakukan kebaikan. Pada masa yang sama, guru perlu sentiasa berusaha agar hasil kerja dan amalan dapat menonjolkan ciri-ciri kecemerlangan dan ketinggian kualiti yang boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi kepada rakan sejawat serta sentiasa berusaha dan memberikan komitmen yang tinggi agar dapat menjadi seorang pendidikan yang terbaik.

•    Guru mestilah memperkotakan apa apa yang dikatakan

Bagi mencapai nilai etika tersebut, guru hendaklah sentiasa menunjukkan sifat-sifat ketekalan dalam tanggapan, pengucapan dan tindakan sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain. Apa-apa yang dilakukan oleh guru tersebut mesti bersesuaian dengan apa yang telah diucapkan. Dalam pada itu, guru juga mestilah sentiasa menepati janji, iaitu seperti apa yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara, Visi Misi Pendidikan Negara dan sebagainya.

•    Guru adalah wajib untuk berdisiplin dan beradab

Setiap insan perlulah sentiasa menjaga adab sopan seperti dalam ajaran agama, maka guru pun tidak dikecualikan daripada ajaran ini. Guru merupakan pemimpin kepada para pelajar. Maka guru perlulah menunjukkan sifat disiplin yang tinggi agar dapat menjadi teladan kepada seseorang pelajar. Pada masa yang sama, ia adalah satu kewajiban kepada guru untuk sentiasa mematuhi peraturan dan arahan perkhidmatan. Tidak kiralah melakukan apa-apa, guru perlu sentiasa melaksanakan tugas dengan berpandukan prosedur dan kaedah yang bersesuaian dan betul.


Kepentingan Etika Guru

    Melalui penjelasan-penjelasan yang diberikan bagi perkataan ‘guru’ dan ‘etika’, maka guru perlu memiliki kod etikanya sendiri demi memartabatkan profesion perguruan. Kod etika ini dianggap penting kerana:

•    Ia menyediakan garis panduan bagaimana bertingkah laku dalam profesion perguruan. Ini adalah sesuai untuk dijadikan sebagai rujukan dan mudah diamalkan oleh guru.

•    Kod etika Perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang pendidikan. Dengan itu, para pendidik ataupun guru dalam perkhidmatan dapat faham dengan lebih mudah dan jelas tentang tanggungjawab mereka.

•    Kandungan yang dinyatakan dalam kod etika Perguruan di negara ini telahpun menunjukkan perbezaan tertentu jika kami membandingkan kod etika Negara Malaysia dengan negara lain. Oleh itu, guru dapat melihat keunikan etika yang diamalkan di negara ini ataupun di negara lain.

•    Selain itu, kod etika yang dicatat dalam bentuk dokumen memudahkan usaha untuk menyemak semula kod dapat dilakukan. Dengan itu, kecemerlangan sesuatu profesion boleh dilihat menerusi sejauh mana kod etikanya boleh dipertahankan dan dikuatkuasakan.

•    Pada masa yang sama, menerusi kod etika, guru dapat meningkatkan lagi imej profesion perguruan secara hitam putih dan juga secara rasmi. Ini dapat membuka mata masyarakat untuk menghayati tanggungjawab guru yang luas dan berat dan menyokong guru dalam mencapai matlamat pendidikan dan negara.

•    Etika kerja merupakan nilai-nilai yang penting dalam sesebuah organisasi. Ini disebabkan melalui pengamalan etika, sudah tentunya ia dapat mengekal, dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas, serta memupuk nilai tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan antara ahli dalam sesuatu organisasi.


Profesional

    Menurut Ornstein dan Levine (1993), konsep profesional merujuk kepada ciri–ciri yang terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion. Antara ciri–ciri yang telah dinyatakan oleh cendekiawan-cendekiawan ialah cekap serta mempunyai pengetahuan yang mendalam kepada bidang yang diceburi oleh seseorang tersebut. Pada masa yang sama, profesion tersebut wujudnya kod etika yang bertindak untuk mengawal tingkah laku ahli itu.

    Maka melalui definisi yang dinyatakan di atas, pekerjaan guru juga merupakan satu bidang pekerjaan yang berprofesional. Dengan lain kata, perkerjaan guru adalah seorang individu yang telah mendapatkan latihan-latihan yang khusus, berpengetahuan luas dan pakar dalam bidang yang diceburi. Pada masa yang sama, individu tersebut hendaklah memegang dan mematuhi kepada kod etika bidang profesion guru yang tersendiri.

    Oleh itu, merujuk kepada ciri–ciri seperti yang dinyatakan di atas, profesion keguruan pada hari ini dilihat semakin goyah. Ini disebabkan terdapat ada segelintir guru yang sanggup mencabar dan melanggar kod etika keguruan yang telah sedia termaktub. Ini telah dibuktikan melalui akhbar-akhbar apabila semakin banyak isu mengenai salah laku guru tersiar di internet dan akhbar. Dengan ini ia sudah tentu akan menganggu serta menggugat martabat profesion keguruan sebagai suatu profesion yang mulia.


Etika Profesional

    Semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan. Ia dilakukan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam masyarakat.


Punca isu

   Terdapat pelbagai punca-punca yang menyebabkan berlakunya isu guru yang terlibat dalam kegiatan najis dadah ini. Antaranya ialah disebabkan pendapatan guru adalah agak rendah dan ianya tidak dapat menampung kos kehidupan yang tinggi dalam era globalisasi ini. Tambahan pula, terdapat guru yang berniat untuk mengejar kehidupan yang mewah tetapi gajinya tidak dapat menampung kos kebendaan yang tinggi ini. Maka, bagi mencapai matlamat untuk berhidup mewah, guru tersebut telah memilih jalan yang salah di mana dia memilih untuk menjual dadah kerana pendapatan kegiatan ini adalah tinggi.  Hal ini adalah sama seperti kes yang telah dinyatakan dalam rencana, iaitu guru Sains SJK(C) di Rengit telah ditahan oleh polis kerana dipercayai mengedar dadah secara sambilan untuk kehidpan mewah.

    Selain itu, faktor-faktor lagin yang menyumbang kepada berlakunya penyalahgunaan dadah adalah tekanan daripada masalah yang dihadapi seperti masalah peribadi, keluarga dan kerja. Tidak dapat dinafikan bahawa kerja profesion guru bukanlah satu kerja yang mudah pada masa ini. Ini disebabkan guru pada zaman ini bukan sahaja hanya menjalankan amanah mereka untuk mendidik kanak-kanak, malah pada masa yang sama, ia telah dipenuhi dengan kerja kertas kerja. Kesemua kerja-kerja ini adalah banyak dan ianya adalah satu kerja yang berpanjangan dan berterusan. Maka tidak hairanlah dan ia adalah agak mudah kepada guru untuk mengalami masalah tekanan emosi.

    Oleh hal yang demikian, apabila tekanan emosi berlaku secara  keterlaluan dan berpanjangan, seseorang indivitu tersebut akan mengalami kemurungan berterusan sehinggalah dia tidak mampu berdepan dengan tekanan tersebut. Sekiranya guru tersebut tidak dapat mencari jalan untuk menangani tekanan dan tidak berdisiplin, pada akhirnya sebagai jalan penyelesaian, mereka akan memilih dan mengambil jalan mudah dengan menjadikan dadah sebagai teman setia yang membolehkan mereka melupakan tekanan yang dihadapi untuk sementara waktu.


Implikasi penyalahgunaan dadah

    Penyalahgunaan dadah akan meninggalkan beberapa kesan kepada penagih. Semasa mengambil dadah, penagih dadah akan mengalami kesan euforia serta mengalami halusinasi (rasa khayal), dari segi fisiologi penagih akan mengalami peningkatan sel darah putih dan paras gula dalam darah, kemusnahan otot-otot dan peningkatan suhu badan. Selain itu, sistem saraf pusat (saraf dan saraf tunjung) juga akan mengalami kerosakkan. Lama-kelamaan, kadar penafasan penagih dadah akan menjadi lebih pendek dan perlahan. Tubuh penagih juga akan mengigil akibat penurunan kadar metabolisme. Di samping itu, mata penagih juga akan menjadi kemerah-merahan serta kuyu dan berat badan penagih dadah turut akan mengalami penurunan secara mendadak. Daripada kesan-kesan yang disebutkan di atas, maka dengan nyata sekali, sekiranya seseorang guru tersebut sudah ketagihan dadah, maka termaktublah dia tidak dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan baik akibat daripada kesan-kesan sampingan tersebut tersebut.

    Selain daripada itu, kebanyakan penagih dadah telah dikaitkan dengan penyakit psikosis (tidak siuman), kerosakan otak dan ketidakstabilan emosi yang merupakan akibat kepada kesan sampingan pengambilan dadah. Oleh hal yang demikian, mereka akan terdorong untuk melakukan  perkara di luar jangkaan kerana fikiran mereka sudah menjadi tidak waras. Kes-kes jenayah seperti merompak, meragut, merogol, dan membunuh dan meningkatkan kadar berlakunya masalah sosial. Walaupun seseorang insan yang bertugas sebagai guru akan sentiasa berfikiran waras, namun sudah tentulah dia tidak dapat mengawal diri apabila berhadapan dengan kesan ketagihan dadah. Maka masalah seperti mencederakan murid bakal berlaku akibat daripada penyalahgunaan dadah. Fenomena ini akan menjatuhkan imej negara dan juga status pendidikan negara kita.


Pandangan saya

    Penglibatan guru dalam kegiatan najis dadah telah menconteng arang dalam profesion perguruan kerana profesion perguruan dianggap sebagai satu profesion yang suci di mana ia merupakan satu profesion yang mendidik generasi baru untuk berbakti kepada negara. Akan tetapi, seperti apa yang telah dinyatakan dalam rencana, bilangan guru yang terlibat dalam kegiatan dadah kian bertambah setiap tahun. Ini dapat dilihat daripada sebaran-sebaran akhbar-akhbar sama ada di laman web, majalah-majalah dan surat akhbar. Pada masa yang sama, apa yang perlu dititik berakan ialah isu penyalahgunaan dadah di kalangan guru ini bukan sahaja berlaku di kawasan bandar, tetapi ia juga berlaku di kawasan luar bandar.

    Pada pandangan saya, apabila mendapati terdapat sesiapa guru yang terlibat dalam kegiatan najis dadah, dia seharuslah dihentikan jawatan apabila pihak polis menjalankan penyiasatan dan guru tersebut haruslah dilucut jawatan dengan serta merta sebaik sahaja kes itu disahkan. Tiada sebarang belas kasihan perlu diberikan kepada kerana mereka telah melanggar etika perguruan. Pihak kerajaan tidak harus wujud lagi sebarang pertimbangan seperti memindahkan guru dari bandar ke kawasan luar bandar atau menurunkan pangkat guru tersebut sahaja.

    Hal ini disebabkan sekiranya seseorang tersebut sudah mula bersentuhan dengan dadah dan sudah pun sampai ke tahap mengedar dadah, dia tidak akan mengubahkan sikapnya tidak kira ke mana-mana tempat dia berada. Serkiranya terdapat perubahan pada sikap guru tersebut, perubahan tersebut juga berkemungkinan besar merupakan perubahan untuk sementera waktu sahaja, tetapi bukannya perubahan yang ikhlas dari hati. Perubahan itu dilakukan agar sumber kewangannya tidak terputus dan dapat lagi meneruskan kegiatannya untuk mengedar dadah.

    Seperti yang dinyatakan dalam rencana, bilangan guru yang bermasalah pada hari ini semakin bertambah. Di mana guru-guru tersebut telah terlibat dalam kancah najis dadah, pelacuran, skandal sex dan sebagainya. Maka bagi mengelakkan perkara yang memalukan ini terus berlaku, cara pemilihan guru perlulah diperketatkan dengan mengadakan beberapa saringan keutuhan supaya dapat memilih calon-calon yang benar-benar ingin menjadi guru dengan memenuhi syarat-syarat Standard Guru Malaysia agar mereka yang terpilih semualah merupakan calon-calon guru yang terbaik dan menjalankan tugas mereka dengan penuh berdedikasi.


Kesimpulan

    Secara kesimpulannya, guru sebagai penjawat awam perlulah sentiasa berpegang teguh kepada kod etika yang telah digariskan. Pada masa yang sama, guru perlulah sentiasa tegas beriman, dengan itu barulah tidak akan terjerumus ke jurang jenayah di mana ia bukan sahaja memusnahkan kehidupan diri, malah ia juga akan memusnahkan kehidupan murid yang dididik. Oleh itu, isu–isu pelanggaran kod etika keguruan seperti isu penyalahgunaan dadah mestilah dibendung daripada terus menular kerana ianya membawa kesan yang buruk terhadap profesion keguruan, pembangunan modal insan dan masa depan anak bangsa.



Sumber Rencana: Berita Harian: Guru terbabit dadah, kurang disiplin tak layak jadi pendidik

No comments:

Post a Comment